Multiple Pages

16/01/2011

PAS dan UMNO Kedah Suka Potong Kepala - Cantas Pakai Pisau Potong Getah.

Di Kedah, Cantas Mencantas Dalam PAS Lagi Teruk Berbanding UMNO.
UMNO Kedah memang popular dengan sikap cantas-mencantas dan peringatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai hal ini baru-baru ini bukanlah isu baru.


Sejak azali lagi UMNO Kedah mengamalkan politik cantas.  Bukan rahsia lagi di Kedah, apabila saja ada permohonan baru ahli UMNO yang berpelajaran tinggi sedikit dan berkaliber, maka borangnya akan dibuang saja ke dalam tong sampah. 

Selain itu ahli yang lebih ‘berkarisma’ tidak akan dijemput ke mesyuarat bagi mengelak pertembungan pendapat dengan Ketua Cawangan atau Bahagian.  Ia juga bagi mengelak timbulnya kritikan atau persoalan berkenaan sesuatu projek yang mungkin kurang telus perlaksanaannya.

Akibat amalan yang bermula sejak berkurun ini, UMNO Kedah tidak lagi punya pelapis yang berkaliber, berkarisma dan layak.

Kemuncaknya, pemimpin-pemimpin UMNO Kedah hampir kesemuanya terdiri dari mereka-mereka yang ‘separuh masak’ sahaja.  Sebenarnya, takyat tidak begitu kisah sama ada pemimpin mereka separuh masak atau ‘rentung’ dari segi akademik asalkan ikhlas dalam bekerja.  Malangnya, sudahlah separuh masak, tidak ikhlas dan jahat pula. 

Orang Kedah sudah terlalu muak dan jelak untuk menegur dan menasihat sikap UMNO Kedah ini kerana ia seolah-olah masuk telinga kiri keluar telinga kanan.

Puak-puak UMNO Kedah ini juga sedia maklum yang sikap mereka telah menjadi perbualan ramai, tapi ‘berkat’ makan minum seharian atas duit yang entah dari mana datangnya, kulit muka mereka menjadi tebal dan tidak lut dek nasihat atau teguran.  Sindiran juga tidak dihiraukan.  Kritikan pedas dan cemuhan tidak dipedulikan.

Mereka tetap selamba menelan pandangan jelek rakyat asalkan dapat terus berkuasa dan bermaharajalela dengan projek-projek dan tender-tender kerajaan.

Mungkin benarlah kata orang, jika memang sudah tidak ada maruah, mana mungkin merasa gusar kalau-kalau kehilangan maruah?

Atas sikap inilah maka UMNO Kedah terus merudum hingga akhirnya kalah di tangan PAS.  Memenangkan PAS adalah usaha terakhir rakyat Kedah untuk menyedarkan UMNO.

Namun, yang menariknya, bukan UMNO sahaja yang mengalami masalah dalaman di Kedah.

Setelah dua tahun memerintah, kini terbukti bawaha PAS Kedah juga adalah jauh lebih tidak berkeupayaan berbanding UMNO.   Sekurang-kurangnya, di bawah UMNO rakyat Kedah mampu merasa selamat dan yakin kerana dinaungi UMNO pusat tetapi di bawah PAS, Kedah bagaikan kehilangan punca terus.

Pemimpin PAS Kedah juga tidak kurang rakusnya mengaut hasil negeri ke dalam kocek mereka.   Tiada satu pun projek menjana ekonomi di bawah PAS Kedah yang menjadi.

Jika pemimpin-pemimpin UMNO Kedah dikatakan tidak punya kelayakan, maka pemimpin PAS Kedah lebih teruk lagi  kerana bukan saja tiada kelayakan tetapi juga tiada pengalaman langsung menjadi pentadbir negeri serta masih terbawa-bawa dengan sikap sebagai pembangkang.

Umum tahu bahawa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak juga cuba dicantas oleh pemimpin-pemimpin bawahan PAS Kedah termasuk orang-orang kepercayaannya sendiri.   Malah, pemimpin-pemimpin dalam Pakatan Rakyat juga, terutamanya DAP, dikatakan bermasalah untuk ‘menyesuaikan’ diri dengan beliau.

Di bawah pemerintahan PAS, cukai dan tariff air naik kerana pihak pentadbiran ketiadaan idea bernas lain untuk menjana pendapatan negeri.  Masalah sampah yang berlonggok masih terus menghantui Kedah walaupun telah dua tahun memerintah.

Sehinggakan rakan-rakan facebook penulis di Kedah juga puas merungut mengenai sampah di kawasan mereka yang ‘setinggi gunung jerai’, kata mereka.  Jika tahun pertama memerintah, sampah yang banyak disalahkan kerajaan terdahulu, apakah tahun kedua memerintah juga masih salah kerajaan UMNO?

Sehingga hari ini, pemimpin PAS Kedah masih berpura-pura tidak nampak, tidak mendengar malah tidak membau sampah di sekitar mereka.  Mungkin kerana mereka sendiri juga kini mula berbau busuk maka mereka tidak lagi dapat membezakan bau sampah dengan bau diri mereka sendiri.

Jelas sekali bahawa PAS Kedah tidak ada masa untuk menjaga kebajikan rakyat dan mentadbir ekonomi negeri kerana terlalu sibuk berpolitik dan cantas-mencantas sesama sendiri.

Melihat dari senario ini, UMNO Kedah seharusnya tidak punya masalah untuk merampas kembali Kedah.   Jika UMNO Kedah mampu meninggalkan sikap suka mencantas sesama sendiri serta belajar dari kesilapan diri, Kedah pasti menjadi milik UMNO semula dengan agak mudah.

Rakyat Kedah hanya mampu menunggu dan melihat iaitu menjelang Pilihanraya ke-13 nanti, antara UMNO dan PAS Kedah, siapakah yang akan insaf dahulu?

Oleh Tarmizi Md. Jam
Malaysia Instinct.com

No comments:

Post a Comment